Hari
ini aku ke pesta lagi. Bukan pesta makan-makan sempena rumah terbuka Aidil
Fitri siapa-siapa. Apatah lagi pesta-pesta yang mengkhayalkan…yang memabukkan…atau
menghairahkan.
Ini
pesta penyegaran minda, pengisian ilmu dan penyegar perasaan. Pesta buku. Lebih
tepat lagi, Pesta Buku Selangor 2016 yang dianjurkan di Shah Alam Convention
Center (SACC). Venue yang lebih kondusif bagi pengunjung (parkingnya hampir…di basement). Tidak seperti tempoh hari di MARDI.
Berpeluh segala tubuh yang punya liang roma sama ada yang berlapik pakaian apa
lagi yang tidak.
Masih
lagi pempamernya dari khalayak yang sama. Gerai hasil terbitan gedung buku
bertaraf antarabangsa dan juga hasil karya anak muda yang diterbitkan dalam
skala kecil oleh mereka yang aku namakan “Indie
Press”. Nama-nama seperti Lejen, Dubook, Maple, Selut, Fixi dan yang
lainnya masih bertatih garang dan semangat bersaingnya masih membara. Tahniah! Aku
turut berbangga. Dan aku akan lebih berbangga seandainya nama-nama itu sanggup mengetuk
dan membuka pintu risiko untuk bergabung dan mengujudkan satu hentian untuk
peminat dan pemuja buku-buku ‘lokal’ mendapatkan dos jiwa dengan mudah.
Kutahu
ada nama yang punya hentian atau outlet
sendiri (Dubook dengarnya hanya ada di Bangi..GPS arah yang lain?..Di mana?). Ada yang bergantung
pada pesta-pesta ilmu sebegini ataupun mencanangkan untuk dibeli secara dalam
talian (online). Ini bukan Amerika…buku
mudah dijual dalam laman Amazon atau laman apa saja. Ini Malaysia. Orang yang membeli buku,
akan membaca dahulu sedikit isi awalnya. Selepas dikunyah, dikumam barulah
ditelan untuk dihadam. Andai rasanya enak…telan dan hadamnya tidak payah atau tidak terlalu perit…baru
akan dibeli.
Lainlah
kalau membeli tudung secara online. Terus dibeli jika cukup menarik coraknya….cukup
indah bentuknya…cukup dikagumi jenamanya dan cukup ongkosnya. Bawal, siakap,
kelisa dan entah apa warna label pun tiada masalah bagi insan-insan ini.
Seperkara
lagi yang aku lihat agak berani ialah gerai yang memuatkan karya-karya yang
dahulunya, ulang lagi, dahulunya agak sukar diperolehi. Aku maksudkan ialah
gerai yang ada hampir semua karya oleh atau tentang Pramoedya Ananta Toer, Said
Zahari, Rashid Maidin dan beberapa tokoh sosialis dan komunis(?) yang lainnya.
Aku beritahu kepada pekerja di gerai itu…pesta buku kali ini akan nampak seimbang, sebab
ada ‘kanan’ dan ‘kiri’…
Walau
apapun senarionya pesta kali ini, aku secara peribadi mendoakan agar harapan
dan impian aku untuk melihat perjuangan anak-anak muda Melayu dan Malaysia ini mampu
terealisasi. Mana tahu dari senarai nama panjang penulis karya-karya ‘indie’ ini
akan tercalon menjadi Sasterawan Negara yang tersohor kalaupun tidak tersihir,
sepuluh atau dua puluh tahun lagi?
Aku
doakan juga agar kedua-dua teruna dan dara lulusan pendidikan yang kujumpa di “Maple
Comics” berjaya ditawarkan sebagai guru dan membawakan obor harapanku agar;
“GURU
dan BUKU, Sedekat Nadi Walaupun Asalnya Sejauh Mentari”