Manusia tidak boleh hidup
berseorangan hatta hanya bersama keluarganya semata-mata. Manusia perlu
berkomunikasi dengan manusia lain sama ada yang sesama jantina atau berlawanan.
Terserah topik komunikasinya, bebas ataupun terlingkung dalam tajuk yang sama asalkan
ia dua hala dan tidak mencetuskan provokasi negatif yang seterusnya mampu
meletupkan kontroversi.
Manusia juga harus mampu
berlari dengan zamannya walaupun ada yang terpaksa berjalan, mengesut mahupun
merangkak. Biar lambat asalkan selamat. Manusia harus akur, berkomunikasi
secara verbal (bercakap) adalah satu medium yang semakin terpinggir, jika
perlupun kerana tuntutan tugas, perasaan (berdating) atau kerana diarahkan.
Pilihan utama adalah
berkomunikasi secara maya (virtual)
hatta bersama buah hati pengarang jantung sekalipun. Manusia lebih bebas menukilkan
perasaan dengan menaip teks (sekarang beremoji atau bersticker) berbanding bercakap. Menaip membolehkan kata-kata
disusun dengan sesempurna mungkin bagi tujuan menjaga hati dan setiap pesanan
yang dihantar atau diterima boleh dielakkan, dipadamkan atau disunting bagi
tujuan menghormati perasaan masing-masing.
Atas nama keselesaan
berkomunikasi beginilah, agensi kerajaan dan swasta berlumba-lumba mewujudkan
perkhidmatan yang mesra hujung jari (baca: dalam talian atau online). Membayar bil, saman, membuat
pendaftaran, memesan makanan, pakaian dan sebagainya sudah menjadi lumrah dan
budaya masyarakat kita kini.
Bagaimana dengan aku? Aku
sama juga dengan manusia lain di muka bumi bertuah ini yang tidak dapat menyekat
diri dan terpaksa berlari sama seiring dengan kemajuan teknologi akhir zaman.
Aplikasi Whatsapp, Instagram dan Facebook (walaupun lama tidak diupdate)
menjadi pilihan untuk aku berkomunikasi dengan sahabat-sahabat lama yang ada
antaranya hampir 40 tahun tidak ketemu mata. Walaupun tanpa suara (kecuali
pengguna berbangsa Cina yang memilih audio message kerana kemungkinan kesukaran
menaip aksara Cina dengan pantas) tapi cukup untuk aku berpuas hati. Dapat juga
berkomunikasi.
Menyentuh tentang
berkomunikasi dengan sahabat dalam era ini, aplikasi Whatsapp menjadi pilihan utama,
aku bersyukur bukan semua komunikasi semudah di hujung jari. Kisahnya begini, sahabat lama aku
sejak beberapa tahun kebelakangan ini disahkan mengidap kanser tahap empat dan
perlu menjalani pelbagai siri rawatan yang aku pasti bukan sahaja menyakitkan
dan memenatkan tetapi memerlukan pembiayaan yang bukan sedikit (baca: hospital
kerajaan bukan hospital swasta).
Dalam seminggu dua ini pula
pecah cerita, anak lelakinya pula dikesan menghidapi kanser tahap keempat dan
perlu menjalani pembedahan. Atas perbincangan keluarga, diputuskan anak ini akan
dirujuk kepada rawatan alternatif kerana tiada keyakinan yang tinggi daripada
pihak doktor bahawa penyakit ini akan diubati sepenuhnya melalui perubatan.
Sesungguhnya doktor bukannya Tuhan, dan tidak perlu aku maklumkan berapa lama
tempoh hayat yang dijangkakan oleh mereka.
Maka usaha dalam kadar
segera pun dilancarkan oleh sahabat-sahabat dalam memberikan bantuan. Mujur
bantuan ini bukan hanya dalam bentuk di hujung jari (kecuali pemindahan wang
sebagai bantuan meringankan beban sahabat melalui perkhidmatan perbankan atas
talian). Ada sahabat (yang aku amat berterima kasih) sanggup bersusah
payah membantu mendapatkan pengamal rawatan alternatif (bukan doktor) untuk
mengubati anak yang kesakitan ini. Alhamdulillah, khabarnya ada menunjukkan
tanda-tanda positif.
Bayangkan andai kita
berkomunikasi dan bertindak hanya bergantung pada hujung jari semata-mata?
Sahabat aku yang terbaik itu hanya sekadar menghantar teks meminta pengamal perubatan alternatif
itu untuk datang merawat anak itu (dengan memandu kereta selama enam jam dari
kediaman). Pengamal perubatan tersebut boleh sahaja menghantar teks memaklumkan
bahawa beliau sibuk dan tidak dapat menunaikan hasrat membantu anak sahabat aku
ini. Apakan daya, bukan ada hubungan apapun antara mereka.
Tetapi apabila sahabat
terbaik aku itu sanggup bertolak dari puncak sebuah pusat peranginan yang
popular dan sentiasa sesak dengan kenderaan di Pahang dengan memandu sendiri ke kediaman pengamal
perubatan yang terletak di sempadan Perak dan Pulau Pinang, sudah tentu sukar
untuk beliau menolak hasrat tersebut. Pada firasat aku, kesungguhan sahabat aku itu adalah satu bentuk penghormatan
kepada ilmu si pengamal perubatan. Tambahan, bangsa Melayu terkenal sebagai bangsa yang suka menghulurkan bantuan.
Marilah kita manfaatkan
kemajuan teknologi yang ada disekeliling kita kepada sesuatu yang lebih
bermakna dan sisipkan di minda kita bahawa secanggih mana pun teknologi
sekarang ini, tidak dapat dinafikan teknologi Allah yang membolehkan kita melihat
dengan hati dan berfikir dengan perasaan.