UNSUNG HEROES: THE STROLLERS
Aku dilahirkan di penghujung tahun 60an. Zaman ‘rebel’, zaman ‘flower power’, zaman ‘Woodstock’ , zaman perang Vietnam dan antara yang menarik ini adalah zaman di mana manusia bernama Neil Amstrong dikatakan menyentuh bulan dengan kasut buat pertama kalinya.
Muzik The Beatles dengan teriakan Yeh…Yeh…Yeh telah berlalu. Rasa baru nuansa baru yang lebih segar iaitu Psychedelic Rock mula menerpa telinga dan dengan mudah dihadam oleh peminat muzik sezaman tanpa mengira rasa atau bendera negara mana mereka berpijak.
Begitu juga Malaysia yang usianya belum lagi mencecah sedekad ketika itu turut menerima bukan saja tempias tapi turut lenjun bersama. Kugiran (kumpulan gitar rancak) yang tumbuh di hujung 1967 mula beralih ke irama ini walaupun asalnya mereka membesar dengan The Beatles, Chuck Berry, The Beach Boys dan ramai lagi. Kugiran yang tumbuh di awal 60an hanya memerhati dan berdoa agar irama Pop Yeh Yeh tetap kekal dan masih ada ruang di hati para peminatnya. Yang jelas sejarah membuktikan irama Pop Yeh Yeh ini akan terkubur dan hanya bangkit semula pada sekitar 1985 atas usaha Allahyarham M. Sharif dan kumpulan The Zurah 2 menganjurkan Konsert Irama 60an. Kini tinggal penghias majlis keramaian dan acara gemilang di televisyen sebagai pencetus nostalgia.
Berbalik pada penyanyi, band atau kugiran era hujung dan awal 70an yang telah mewarnai dunia muzik sehingga zaman kegemilangan kumpulan Rock Kapak pada hujung 80an. Ketika ini band pop dan disko tumbuh bagai cendawan di Malaysia dan Singapura. Nama-nama seperti Black Dog Bone, Carefree, Discovery, Alice Sound, The Flybaits, Brain Connection, D’Atomic Power, Quinary M, Sweet September, Revolvers, Streetlights, Goodman Brothers dan Kalibers (sekadar menyebut beberapa nama) menguasai carta lagu-lagu Melayu arus perdana atau disebut mainstream.
Bagaimanapun di sebalik kesohoran nama-nama tersebut, ada beberapa nama yang jarang disebut atau kedengaran lagu mereka di corong-corong radio. Kemungkinan besar kerana kebanyakan mereka ini memainkan lagu-lagu cover atau saduran dalam Bahasa Inggeris dan sayangnya lagu-lagu ciptaan asli mereka juga turut dilabelkan sebagai lagu saduran. Ironinya jika dikaji dan diperakui secara ilmiah terdapat beberapa lagu ciptaan mereka ini telah menjadi popular apabila disadurkan oleh penyanyi antara bangsa (baca penyanyi UK dan US). Atas alasan apa sekalipun, mereka ini tetap membawa kegahan nama nusantara sama ada Malaysia atau Singapura di mata dunia.
Sebagai permulaan, sedikit perkongsian tentang sebuah band asal Malaysia (kalau sebut Malaysia atau Singapura, kadang-kadang ada percampuran keduanya, maklumlah muzik tiada sempadan bangsa, agama mahupun negara). Band yang dimaksudkan ialah The Strollers.
The Strollers merupakan band bernuansa rock atau lebih tepat, Psychedelic Rock yang diperkuatkan dengan ahli yang mahir dan mampu memainkan muzik secara live di pentas mahupun untuk rakaman di studio. Bukan sahaja The Strollers, malahan semua band pun sama gagahnya. Era klasik di mana rakaman album sama ada LP atau EP dimainkan sendiri oleh ahli band tanpa perlu pemuzik undangan.
The Strollers asalnya dianggotai oleh Billy Chang (bass), Hassan Idris (gitar), Ambrin (digantikan oleh Michael Magness (organ, vocal), Jimmy D’Olivero (digantikan oleh Nand Kumar (conga, Vocal) dan Ramli (drum sebelum digantikan oleh Hussein Idris).
Kemudian barisan (line –up) berubah apabila Terry Thaddeus (gitar, menggantikan Michael Magness), Richard Gomes (keyboard) dan Azman Warren (vocal) masuk sebagai ahli dan menjadi line-up The Strollers yang disegani.
Terry Thaddeus (1947-2003)
Kini The Strollers sudah tiada kerana ramai ahli asalnya telah meninggal dunia ataupun berhijrah ke luar negara untuk mencari kehidupan yang lebih menjanjikan. Bagi meneruskan legasi ini, The Strollers 2 ditubuhkan pada tahun 1988 di mana line-up barunya ialah Hussein Idris (drum dan vocal), Casper (bass dan vocal), Nan (gitar dan vocal), Desi (kemudian digantikan oleh Rozal, vocal) dan Lord (kemudian digantikan oleh Azlan, keyboard).
Sepanjang penglibatan The Strollers mewarnai dunia muzik negara, mereka telah menghasilkan beberapa EP dan album penuh (LP). Antaranya seperti berikut,
· EP 1968 Wanna Thank You
· EP 1969 Big Step
· EP 1969 Put Your Hands Together
· EP 1970 Before The Dawn
· EP 1970 Just As I Am
· EP 1971 Chirpy Chirpy Cheep Cheep
· EP 1972 Charles Tyler backed by The Strollers
· EP 1972 Travels
· EP 1972 New Woman (iklan promosi susu Nestle)
· EP 1973 Its A Beautiful Feeling
· EP 1973 Silly Jokes
· LP 1973 Waiting Is
P/S - Semua imej adalah diambil daripada laman web.