Wednesday, December 12, 2018

SAHABAT TANPA SYARAT

Manusia tidak boleh hidup berseorangan hatta hanya bersama keluarganya semata-mata. Manusia perlu berkomunikasi dengan manusia lain sama ada yang sesama jantina atau berlawanan. Terserah topik komunikasinya, bebas ataupun terlingkung dalam tajuk yang sama asalkan ia dua hala dan tidak mencetuskan provokasi negatif yang seterusnya mampu meletupkan kontroversi.

Manusia juga harus mampu berlari dengan zamannya walaupun ada yang terpaksa berjalan, mengesut mahupun merangkak. Biar lambat asalkan selamat. Manusia harus akur, berkomunikasi secara verbal (bercakap) adalah satu medium yang semakin terpinggir, jika perlupun kerana tuntutan tugas, perasaan (berdating) atau kerana diarahkan.

Pilihan utama adalah berkomunikasi secara maya (virtual) hatta bersama buah hati pengarang jantung sekalipun. Manusia lebih bebas menukilkan perasaan dengan menaip teks (sekarang beremoji atau bersticker) berbanding bercakap. Menaip membolehkan kata-kata disusun dengan sesempurna mungkin bagi tujuan menjaga hati dan setiap pesanan yang dihantar atau diterima boleh dielakkan, dipadamkan atau disunting bagi tujuan menghormati perasaan masing-masing.

Atas nama keselesaan berkomunikasi beginilah, agensi kerajaan dan swasta berlumba-lumba mewujudkan perkhidmatan yang mesra hujung jari (baca: dalam talian atau online). Membayar bil, saman, membuat pendaftaran, memesan makanan, pakaian dan sebagainya sudah menjadi lumrah dan budaya masyarakat kita kini.

Bagaimana dengan aku? Aku sama juga dengan manusia lain di muka bumi bertuah ini yang tidak dapat menyekat diri dan terpaksa berlari sama seiring dengan kemajuan teknologi akhir zaman. Aplikasi Whatsapp, Instagram dan Facebook (walaupun lama tidak diupdate) menjadi pilihan untuk aku berkomunikasi dengan sahabat-sahabat lama yang ada antaranya hampir 40 tahun tidak ketemu mata. Walaupun tanpa suara (kecuali pengguna berbangsa Cina yang memilih audio message kerana kemungkinan kesukaran menaip aksara Cina dengan pantas) tapi cukup untuk aku berpuas hati. Dapat juga berkomunikasi.

Menyentuh tentang berkomunikasi dengan sahabat dalam era ini, aplikasi Whatsapp menjadi pilihan utama, aku bersyukur bukan semua komunikasi semudah di hujung jari. Kisahnya begini, sahabat lama aku sejak beberapa tahun kebelakangan ini disahkan mengidap kanser tahap empat dan perlu menjalani pelbagai siri rawatan yang aku pasti bukan sahaja menyakitkan dan memenatkan tetapi memerlukan pembiayaan yang bukan sedikit (baca: hospital kerajaan bukan hospital swasta).

Dalam seminggu dua ini pula pecah cerita, anak lelakinya pula dikesan menghidapi kanser tahap keempat dan perlu menjalani pembedahan. Atas perbincangan keluarga, diputuskan anak ini akan dirujuk kepada rawatan alternatif kerana tiada keyakinan yang tinggi daripada pihak doktor bahawa penyakit ini akan diubati sepenuhnya melalui perubatan. Sesungguhnya doktor bukannya Tuhan, dan tidak perlu aku maklumkan berapa lama tempoh hayat yang dijangkakan oleh mereka.

Maka usaha dalam kadar segera pun dilancarkan oleh sahabat-sahabat dalam memberikan bantuan. Mujur bantuan ini bukan hanya dalam bentuk di hujung jari (kecuali pemindahan wang sebagai bantuan meringankan beban sahabat melalui perkhidmatan perbankan atas talian). Ada sahabat (yang aku amat berterima kasih) sanggup bersusah payah membantu mendapatkan pengamal rawatan alternatif (bukan doktor) untuk mengubati anak yang kesakitan ini. Alhamdulillah, khabarnya ada menunjukkan tanda-tanda positif.

Bayangkan andai kita berkomunikasi dan bertindak hanya bergantung pada hujung jari semata-mata? Sahabat aku yang terbaik itu hanya sekadar menghantar teks meminta pengamal perubatan alternatif itu untuk datang merawat anak itu (dengan memandu kereta selama enam jam dari kediaman). Pengamal perubatan tersebut boleh sahaja menghantar teks memaklumkan bahawa beliau sibuk dan tidak dapat menunaikan hasrat membantu anak sahabat aku ini. Apakan daya, bukan ada hubungan apapun antara mereka.

Tetapi apabila sahabat terbaik aku itu sanggup bertolak dari puncak sebuah pusat peranginan yang popular dan sentiasa sesak dengan kenderaan di Pahang  dengan memandu sendiri ke kediaman pengamal perubatan yang terletak di sempadan Perak dan Pulau Pinang, sudah tentu sukar untuk beliau menolak hasrat tersebut. Pada firasat aku, kesungguhan sahabat aku itu adalah satu bentuk penghormatan kepada ilmu si pengamal perubatan. Tambahan, bangsa Melayu terkenal sebagai bangsa yang suka menghulurkan bantuan. 

Marilah kita manfaatkan kemajuan teknologi yang ada disekeliling kita kepada sesuatu yang lebih bermakna dan sisipkan di minda kita bahawa secanggih mana pun teknologi sekarang ini, tidak dapat dinafikan teknologi Allah yang membolehkan kita melihat dengan hati dan berfikir dengan perasaan.

P/S – teringat bagaimana aku mengajar anak untuk berkomunikasi tanpa malu dengan cara meminta beg plastik atau penutup bekas air di restoran makanan segera. Ternyata yang Si Dara lebih hebat daripada Si Teruna.