Wednesday, September 21, 2016

JARAK BEZA KASIH DAN KASIHAN

Imbauan aku tengah hari ini berundur ke tahun 80an..kala usia aku masih muda, belum remaja tapi sudah ada rasa sayang. Sayangkan sesuatu melebihi dari sayangkan seseorang.

Semuanya kerana seekor kucing. Kucing putih baka siam yang dibuang oleh ‘mantan’ tuannya ke tempat aku bertugas. Raut bentuk wajahnya persis wajah kucing kesayangan keluargaku suatu ketika dahulu. ‘Comot’ namanya. Bukan kerana jenis selekeh tetapi kerana bulunya ber’pattern’kan semburan warna-warna debu kelabu.

Kucing itu sekadar ada di hadapan mataku. Ku biarkan saja. Cukup hanya makanan yang tersisa yang dijamahnya. Ku biarkan saja sekali lagi dan berkali-kali selepas itu. Kerana apa? Kerana aku sekadar hanya rasa kasihan. Kasihan…kesian…kasihan…kesian

Tapi bukan pada Comot. Aku tak kasihan padanya. Sejak kecil kuambil, kujaga, kubelai sehinggalah kelibatnya hilang setelah hampir separuh dekad ia menjadi tempat keluargaku dan aku melepaskan tekanan-tekanan hidup yang ada. Kerana apa? Kerana aku kasih padanya sebagaimana aku kasihkan keluargaku, permainanku dan buku komik kegemaranku.


Maka, saat aku menghidu aroma kopi ala Americano ini..sambil melihat bayang wajah di atas pekatnya, ku harap kita mengerti dan tidak terkeliru dengan perasaan kasih dan kasihan yang ada di jiwa kerana ia bukan dicetuskan minda. 

TITISAN HUJAN: ANTARA PAGI, SENJA, AKU DAN DIRIMU

Redup pagi ini
Bukan hujan jadi janji
Mentari seakan malu sendiri
Akan manis di senyummu
Lebih asyik mekar itu dari hati

Dalam diam ku mohon pagi ini
Jangan berhenti
Biar senyummu terus berseri
Moga dirimu terus ceria
Dalam redhamu setiap hari

Sejuk senja ini
Ku doakan biar turunnya hujan
Biar ada titisnya jatuh di atas tapak tanganmu
Kala doa kau panjatkan pada-Nya
Biar ada titisnya jatuh di sudut bibir keringku
Kala aku bertasbih memuji-Nya
Biar ada titisnya jatuh antara aku dan dirimu
Kala aku menuturkan kata maaf 
Atas yang berlaku dan berlalu dahulu

Kala aku membisikkan terima kasih 
Kerana sudi menerima dan memaafkanku

PRIHATIN YANG TIDAK PRAKTIKAL DI AIDIL ADHA

Masyarakat Malaysia terkenal di seluruh dunia atas sikap prihatin mereka. Pelbagai senario, peristiwa, program yang berlatar belakangkan sikap prihatin ini. Kegawatan dunia yang penuh sesak dengan peristiwa peperangan, bencana alam, diskriminasi politik, kebencian agama, kebuluran, penyakit dan pelbagai lagi telah memungkinkan untuk rakyat Malaysia yang terlebih prihatin untuk meninggalkan negara, keluarga, sanak saudara, rakan taulan untuk menyumbang harta, tenaga dan idea bagi membantu insan-insan yang memerlukan tanpa sempadan bangsa, agama mahupun negara.

Apa yang nak ku sentuh berkaitan prihatin ini adalah sikap prihatin kita pada masyarakat yang dekat dengan kita, pada lingkungan kita (kalau nahu Indonesianya). Peribahasa “Kuman di seberang lautan nampak di mata, gajah di pelupuk mata tidak kelihatan” cukup sinonim dengan isu ini.

Masyarakat kita sanggup melakukan korban untuk keluarga susah di negara lain seperti Kemboja tetapi kerap terlupakan keluarga yang usahkan daging lembu, ikan bilis pun tidak mampu dibeli untuk dimakan.

Masyarakat kita sanggup memasakkan makanan untuk mereka yang bukan saudara seagama atau sebangsa mahupun senegara walaupun hakikatnya bila tiba waktu tertentu, beratur warga gelandangan ibu kota yang datangnya langkahnya perlahan, bertatih, mengesut dan disorong kerusi roda.

Tidak salah untuk membahagiakan mereka. Tidak salah. Aku ulang sekali lagi. Memang tidak salah. Cuma kita perlu berlaku adil. Aku teringat sebait bicara dalam filem “Kapan Kawin” rilisan 2015.

Kalau kita ingin membahagiakan sesiapa pun, kita kena bahagia dahulu. Jangan cuba bahagiakan orang lain kalau ia seumpama memberikan cek kosong.”


Bagi aku – tak salahkan kalau KITA senang dahulu sebelum senangkan ORANG lain? Keliru? Jom pekena kopi dulu… 


SELAMAT HARI LAHIR UNTUKKU

16 SEPTEMBER 1969 – Empat puluh tujuh tahun lamanya anak merdeka ini melungsuri jendela-jendela waktu yang berkait dengan putaran sejarah dunia dan sejarah kesenian. Ketokohan susuk Jimmy Carter hingga rimas asal usul Barrack Obama, kelincahan Led Zeppelin hingga jenuh dengan seriusnya Nirvana, kagum Six Million Dollar Man hingga terpegun dengan Avengers…

Pada laluan yang sentiasa betul dan tepat ke gerbang emas…aku sudah ikhlaskan semua. Ikhlas…noktah..full stop. Cukup dengan koma-koma (,) yang ada..hadir dalam laluanku itu.

Yang penting bahagia. B.A.H.A.G.I.A…. Bahagia kerana dalam sedar, separa sedar dan tanpa sedar aku disayangi ramai;

Disayangi sebagai hamba-Nya
Disayangi sebagai anaknya
Disayangi sebagai adiknya
Disayangi sebagai abangnya
Disayangi sebagai iparnya
Disayangi sebagai suaminya
Disayangi sebagai bapanya
Disayangi sebagai datuknya
Disayangi sebagai pakciknya
Disayangi sebagai sahabatnya
Disayangi sebagai ketuanya
Disayangi sebagai anak buahnya

Disayangi sebagai …. Ach banyak sekali untuk disayangi dan untuk aku sayangi..


Yang penting aku bersyukur kerana menyayangi dan disayangi oleh negara ku yang MERDEKA….MALAYSIA