DARI TANJUNG MALIM KE KLCC & DARI KLCC KE TANJUNG MALIM – DuBook Press

Sumpah! Aku takkan beli buku ini kalau di kulitnya tidak tercatat 12 huruf itu…T A N J U N G M A L I M…Tanjung Malim.


Kenapa? Sebab itu adalah tempat aku membesar. Semasa aku kecil dan menetap di Slim River dari umur 10 tahun sehingga setahun sebelum menikah, Tanjung Malim bagi aku adalah tempat ketiga happening selepas Kuala Lumpur dan Ipoh. Kalau KL ada Pertama dan Campbell Complex, Ipoh ada Yik Foong…Tanjung Malim ada kedai Uncle jual kaset depan Supermarket Angsoka. Itu sudah cukup untuk aku. Ketika itu.

Buku ini strukturnya mudah. Koleksi catatan Fdaus Ahmad tentang memori dan peristiwa istimewa yang dekat dengan dirinya, keluarga, rakan sekerja dan masyarakat yang pernah disapanya sepanjang dia termenung disulam lena di dalam bas ekspres 626 KL-Tanjung Malim. Kesabaran meladeni waktu dalam durasi selama 7 tahun berulang alik ke tempat kerja di Kuala Lumpur (KLCC untuk yang lebih tepat) dari rumahnya di Tanjung Malim tidak disia-siakan begitu saja.

Dalam banyak-banyak imbauan memori yang tercatat di dalam buku ini, aku amat menyenangi kisah beliau dan isteri(bini)nya yang merupakan seorang guru (Cikgu Kuala Kubu) dan Fateem, anak perempuan sulungnya. Gelagat dan kisah mereka ini mampu untuk menjentik minda aku untuk ‘roll back’ memori dua dekad sewaktu baru memiliki cahaya mata.

DARI KLCC KE TANJUNG MALIM – DuBook Press

Buku kedua. Lebih nipis dan tetap kecil. Kalau dulu 228 muka surat bercetak, sekuelnya pula hanya 156 muka sahaja. Yang penting pada penerbit ialah harganya masih sama. RM20.

Asalnya aku ingatkan yang nombor dua ini sekuel, atau paling tidak pun prekuel. Maklumlah filem-filem Hollywood yang bersifat ‘blockbuster’ kini gemar untuk dibuat sambungan (sekuel) atau dijadikan pendahuluan (prekuel).

Tapi bukan. Jauh sekali. Padaku buku ini ibarat helaian ke 229 ke 385 yang dicabut dari buku yang pertama dan dijilidkan semua untuk jadi yang kedua. Hangatnya tetap sama. Tiada beza ceritanya. Tak peduli sama ada dari Tanjung Malim ke KLCC atau vice versa.

Jika masih mahu membaca? Tepuk dada tanya selera. Rasanya di khutub khanah tiada.

No comments:

Post a Comment