Tuesday, August 30, 2016

BERPEGANG PADA SISA-SISA MINDA YANG DIPERCAYA

Manusia kerap tertipu dengan mindanya sendiri. Terkeliru dengan pilihan-pilihan imej yang perlu disimpan selamanya, disimpan sementara atau yang tidak perlu singgah pun. Buang terus!

Kita selalunya lebih cenderung untuk menyimpan dengan rapi memori-memori yang kita senang..yang kita sayang..yang kita hargai. Memori-memori inilah yang akan terputar di minda apabila kita berada dalam keadaan-keadaan yang paling sukar dalam hidup.

Justeru itu bila kita berada di bawah sedar, otak akan memilih memori-memori itu untuk terus ditayangkan berulangkali walaupun memori itu hakikatnya sudah terlalu lama berlalu atau hanya sebentar saja hadir dalam fasa hidup kita. Apabila asyik ditayang…didengar…dihadam berulang-ulang kali, memori-memori itu akhirnya akan dianggap suatu yang nyata..iaitu peristiwa yang baru dan terkini berlaku…


Kekeliruan ini kadang kala perlu untuk membuatkan kita berasa sedikit ketenangan untuk berpaling (bukan lari) dari masalah yang menyempitkan minda dan perasaan. Tapi andai kita hanya sanggup bergantung kepada rantaian memori tersebut tanpa berusaha untuk akur, pasrah dan redha dan seterusnya membuka kotak minda dan kunci perasaan pada hakikat yang sebenarnya…kita akan terperangkap dan kekal dalam sangkar memori tersebut untuk selama-lamanya.


Untuk itu. Sejujurnya aku pilih untuk membuka ruang nafas dan belahan bibirku untuk mencicipi rasa sang kopi, menghirup aroma harumnya dan meneguk rasa panas pahit itu.

SENDIRI DI PAGI MERDEKA

Sendiri di pagi merdeka
Jauh dari barisan gagah bala perwira
Apatah lagi sabda dirgahayu Sang Raja

Masih tertanya
Apa erti merdeka
Di dada insan di lingkungan kita

Slogan merdeka seakan tiada apa
Bila pagi ini
Roti hanya cukup ada
Tapi tiada janji ia akan bersisa
Hingga malam tiba

Bila pagi ini
Hanya berlatarkan kaki lima
Tapi itulah syurga
Itulah istana

Masih sendiri di pagi merdeka
Tetap bersykur atas kurnia-Nya
Merdeka kita seluruhnya
Merdeka!


-7.07 pagi, Hutan Melintang

Monday, August 15, 2016

SECANGKIR KOPI PANAS DI AMBANG SAMBUTAN KEMERDEKAAN

Indah… bila pagi ini kudedikasikan seluruh saraf rasa dan minda sedarku dengan secawan kopi panas. Ruap panas yang memacu harum kopi ku hirup dalam-dalam sambil membayangkan….


Bagaimanakah perasaan Bapa Kemerdekaan kita, Allahyarham Tunku Abdul Rahman jika beliau dapat membayangkan bahawa dalam tempoh 30 hari, tanah air yang beliau cintai ini akan MERDEKA..Bebas dari cengkaman colonial yang bertali arus sejak 1511?

Apakah kita kini sudah betul-betul merdeka? Yakin sungguh sudah merdeka dari sudut penjajahan. Tapi adakah yakin sudah merdeka dari sudut akal fikiran? Merdeka raga jasmani? Merdeka hati perasaan?

Atau kita sekarang ini sebenarnya masih dijajah… oleh bangsa sendiri?


-Walau apapun…MALAYSIA, SELAMAT HARI LAHIR. Ku Hitung Juga Tiga Puluh Hari Lagi…MERDEKA! DARI RAHIM IBUKU