Monday, December 5, 2016

BIG BOY’S HOBBY: HARD ROCK CAFÉ’S T-SHIRT

Semasa aku bersekolah dahulu, cikgu sering bertanyakan hobiku dan rakan-rakan sekelas. Melukis, ringkas sahaja jawapanku. Memang itulah hobiku dahulu yang nampaknya telah diwarisi oleh anak lelaki bongsuku. Itu dahulu. Sekarang, hobiku semakin bertambah. Mambaca, mendengar muzik, menonton filem dan menulis menjadi barisan hobiku yang baharu.

Hard Rock Cafe pertama yang dibina di London pada tahun 1971.

Kini, senarai hobiku bertambah satu. Tapi kali ini hobiku agak mahal. The Big Boy’s Hobbies…katakan. Tak, hobiku bukan berbasikal hujung minggu, bukan juga menunggang motosikal berkuasa besar keliling desa dan pekan kecil (sebab kalau di bandar banyak sangat gangguan…jem dan lampu trafik).




 Antara contoh cenderamata Hard Rock Café.

Hobiku yang baharu ialah mengumpul memorabilia hasilan Kedai Kopi Batu Keras atau yang disebutkan oleh Robert Plant sebagai Hard Rock Café (HRC). Terdapat banyak cawangan HRC di muka bumi ini. Malaysia sahaja telah sedia ada empat cawangannya iaitu di Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu. Dengar khabarnya akan ada yang keempat iaitu di Kuching, Sarawak.


Hard Rock Café Kuala Lumpur.


Hard Rock Café Melaka.


Hard Rock Hotel Penang.


Hard Rock Café Kota Kinabalu.

Terdapat banyak memorabilia yang ada. Dari yang sekecilnya seperti pin hinggalah yang besar-besar seperti beg sandang. Aku? Hanya mengumpul kemeja T (t-shirt) sahaja. City Tee iaitu yang mempunyai grafik berkaitan HRC dan lokasi di bahagian belakang baju dan Flag Tee iaitu yang mempunyai grafik bendera di hadapan baju.


City Tee Melaka
City Tee Penang

City Tee London, England

City Tee Phuket, Thailand

City Tee Oslo, Norway

City Tee Melaka

City Tee Tbilisi, Georgia

City Tee Munich, Germany

Flag Tee Baku, Azerbaijan

Setakat ini aku menyasarkan t-shirt berdasarkan beberapa lokasi mengikut benua. Jika ada kesempatan dan kemampuan aku akan beralih ke lokasi-lokasi yang masih beroperasi dan selebihnya aku menyasarkan pula ke lokasi yang rare iaitu lokasi yang telah ditutup terus atau berhenti beroperasi kerana bertukar lokasi, unauthorised iaitu tidak berada di bawah bumbung rasmi HRC dan sebagainya.  

Saturday, December 3, 2016

KUALA KUBU BHARU INTERNATIONAL ART FESTIVAL, 2016

Sepuluh hari. 1 hingga 10 Disember 2016. Sepanjang tempoh itu seramai 30 orang pelukis profesional akan berkampung di pekan Kuala Kubu Bharu (KKB) bagi merealisasikan tema “Cagar Seni Di Perbukitan” (Art Haven In The Hill).


ADUN Kuala Kubu Bharu, YB Pn Lee Kee Hiong merupakan orang kuat yang komited dalam menempatkan pekan kecil ini dalam peta kegiatan seni negara. Bermula antaranya, lukisan mural di sekeliling tembok-tembok kosong pekan bersejarah ini, kegiatan sastera dengan mengundang Sasterawan Negara A. Samad Said, Sasterawan Negara Muhammad Hj Salleh, Prof Dr Siti Zainon Ismail dan ramai lagi. Baru-baru ini adalah pelancaran buku Small Town: A Personal Tribute to Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor oleh penulis Rehman Rashid.




Festival seni ini telah dijayakan oleh para pelukis (catan) dan pengarca (sculpturer) daripada beberapa negara rumpun Asia seperti Indonesia, Bangladesh, China, Korea Selatan, Nepal, Filipina, Bangladesh, India, Laos, Singapura, Taiwan, Thailand, Vietnam, Australia dan tidak ketinggalan pertiwi kita, Malaysia.






Selain itu, hasil karya Measured Drawing pelukis-pelukis muda pelajar dari Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, sekolah-sekolah di sekitar KKB turut dipamerkan di Perpustakaan Awam KKB, Galeri Seni KKB dan khemah perasmian.









Kebanyakan hasil catan yang dihasilkan adalah berbentuk abstrak dan mengambil latar belakang alam KKB yang kaya dengan himpunan flora dan fauna selain sifat rahmah dan perpaduan masyarakat majmuk yang sedikit sebanyak agak asing bagi kebanyakan pelukis-pelukis ini.



Cikgu Zulkifli Din, guru SK Ampang Pecah yang cukup sinonim dengan dunia seni lukis khususnya di Kuala Kubu Bharu. Komited, minat dan berdedikasi.



Bersama pelukis Filipina, Reynold DelaCruz yang mengambil semangat perpaduan masyarakat KKB dalam karyanya.



Karya unik pelukis Indonesia, Zent Prozent yang turut menterjemahkan kesepakatan masyarakat majmuk Malaysia dalam menguatkan negara tercinta ini.



Karya pelukis muda Malaysia, Ng Chaw Tong ini mengetengahkan betapa pentingnya bagi kita untuk memberikan pendapat, idea dan menyalurkan pandangan dengan rasa bebas.



Teruk sangatkah dunia ini dengan pencemaran sehinggakan dewa turut mengenakan topeng muka? Karya pelukis Asha Dangol dari Nepal ini turut menarik mataku untuk merakamkannya.


Pelukis Autralia, Michelle Dawson ini menjadikan fauna yang sinonim dengan negara kita seperti anjing dan beruang matahari sebagai latar penghayatannya. Anjing? Masih banyak. Ya banyak. Beruang Matahari? Menantikan masa dan ketika untuk kita amati hanya di zoo sahaja.



Festival ini telah dirasmikan oleh Tuan Mohamad Zain bin A. Hamid, Yand Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor dan turut dihadiri oleh YDH Dato’ Haji Aman Shah bin Mohd Shahar, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor.





Penulis bersama maskot festival, Ori Si Burung Kunyit (Ori The Black-Naped Oriole)






P/S – Sejujurnya kita belum atau tidak mahu mengambil kesempatan ini untuk menjual KKB ke mata umum…masyarakat Malaysia dan antarabangsa dalam pelbagai acara yang telah diadakan secara rasmi, santai, berkala atau tahunan. Mana memorabilia KKB? Mana t-shirt KKB? Mana key chain KKB? Mana poskad KKB? Mana? Mana dan mana? Apakah perlu kita menunggu orang lain yang menjual KKB yang kita sayangi ini?