Tuesday, June 7, 2022

PERIHAL PERIBAHASA BAHASAKU

 PERIHAL PERIBAHASA BAHASAKU

 

Bahasa menunjukkan bangsaku

Bangsaku Melayu bahasaku Melayu

Bahasa yang sama kututur dalam kembara mimpiku

Tapi mungkin bukan yang membasahi bibir bicara lenamu

 

Hidupku teradun dalam majmuk manusia

Sering bahasa pasar menjadi perantara

Tidak mampu berbahasa dalam gaya bentara

Kerana aku hanya orang biasa

 

Hidupku dan cabaran bagaikan bersaudara

Sering singgah berulang menyapa

Namun kudaki bukit dan kuturuni lurah bersama

Biar kuyup terendam basah, hangat terampai kering bersama

 

Hidupku bertempur dengan dugaan

Menuntun kesabaran menuntut keredhaan

Untuk cekal mendayung sampan berbekalkan pendayung di tangan

Sanggup berumah di tepi pantai, takkan gentar dilambung ombak?

 

Hidupku berpencakkan kerja

Pasak kekuda tepis mengunci

Siku menyiku jadi mainan

Namun ku genggam bara apinya biar sampai jadi arang

Bagai lebah menghimpun madu

Tapi bukan madu yang satu itu

 

Hidupku penuh kerinduan

Bergurau manja dengan anak-anak emasku

Yang kulentur menjadi buluh bermula dari zaman rebungnya

Bagai menatang minyak yang penuh

Setitik pun enggan ku biarkan menitis ke bumi

Bagai kaca terhempas ke batu

Namun manjaku hanya makan dan pakai

Silap tetap ditegur salah tetap dimarah

Cuma berpada bagai ayam mematuk anak

 

Hidupku berpasangan Sang Ratu

Cantik wajah murni pekerti

Bersemayam di singgahsana bulan dipagari bintang gemerlap

Bagai emas baru disepuh

Walau usia makin bertambah hitungannya

Walau kudrat makin terhakis sisanya

Kasih mekar sentiasa

Seadanya

 

Hidupku digelar cikgu

Yang mana baikku hendak dijadikan teladan

Yang mana buruk kupesan jadikanlah sempadan

Kepimpinan melalui teladan biarlah menjadi kenangan

Jangan sindiran yang ditugukan

Waima ada muridku yang terkucil kencing berlari

Mungkin kerana aku pernah kencing berdiri

 

 

 

Hidupku berkawan dengan buku

Kota buku menjadi tempat tujuku

Santapan jiwa penyegar mindaku

Menjadi ulat buku yang meniti jambatan ilmu

Meraba kunci kehidupan

Agar menjadi pelita hidup dalam kegelapan

 

Hidupku cintakan ilmu

Ilmu bermanfaat bila diamalkan

Jangan sampai kaku diam penggali berkarat

Jangan kekal berdiam di bawah tempurung

Kejarilah ilmu carilah mualim

Carilah jauhari yang mengenal maknikam

Hajat belajar berenang dapatkan itik

Hajat belajar memanjatkan dapatkan tupai

 

HIdupku bertemankan pesan ayahanda

Jangan dicontoh perangai kacang

Sering lupakan kulitnya

Jangan ditiru tingkah lalang

Asyik meliuk mengikut angin

Berawas lepaskan anjing tersepit, takut-takut digigitnya

Contohilah sikap padi, makin berisi ilmu, makin menunduk malu

Baju di badan perlu diukur setepatnya

Pahatkan namamu di persada ingatan

Bagai garang belang hulubalang rimba

 

 

 

Hidupku dipeluk nasihat bonda

Jiran sahabat taulan itulah saudaramu

Jangan lokek meringankan tulang

Biar sama merasai berat yang dipikul

Bukan sekadar berat mata yang memandang

Tegur menegur adat berkawan

Berhemah menarik rambut di dalam tepung

Rambut tidak putus tepung tidak berselerak

Hari ini hari mereka

Entah esok lusa hari kita

 

HIdupku dinaung kasih saudara

Kadang kala diuji kealpaan dan kekhilafan

Sedih pedih bila lidah tergigit dalam sedar

Namun air yang dicincang tidak akan putus

Singkirkan yang keruh,

Simpankan yang jernih

Sesat meraba di hujung jalan

Undurlah pulang kepangkalnya

Jangan sampai nasi ditanak menjadi bubur

 

Indahnya bahasaku

Bagi yang enggan untuk mengenal

Manakan akan hadirnya cinta

Berabad ia kekal lestari

Kekal tak basah ditimpa hujan

Kekal tak lekang dihangatkan mentari

Dirgahayu bahasaku

Gemilangnya bangsaku

Wednesday, December 12, 2018

SAHABAT TANPA SYARAT

Manusia tidak boleh hidup berseorangan hatta hanya bersama keluarganya semata-mata. Manusia perlu berkomunikasi dengan manusia lain sama ada yang sesama jantina atau berlawanan. Terserah topik komunikasinya, bebas ataupun terlingkung dalam tajuk yang sama asalkan ia dua hala dan tidak mencetuskan provokasi negatif yang seterusnya mampu meletupkan kontroversi.

Manusia juga harus mampu berlari dengan zamannya walaupun ada yang terpaksa berjalan, mengesut mahupun merangkak. Biar lambat asalkan selamat. Manusia harus akur, berkomunikasi secara verbal (bercakap) adalah satu medium yang semakin terpinggir, jika perlupun kerana tuntutan tugas, perasaan (berdating) atau kerana diarahkan.

Pilihan utama adalah berkomunikasi secara maya (virtual) hatta bersama buah hati pengarang jantung sekalipun. Manusia lebih bebas menukilkan perasaan dengan menaip teks (sekarang beremoji atau bersticker) berbanding bercakap. Menaip membolehkan kata-kata disusun dengan sesempurna mungkin bagi tujuan menjaga hati dan setiap pesanan yang dihantar atau diterima boleh dielakkan, dipadamkan atau disunting bagi tujuan menghormati perasaan masing-masing.

Atas nama keselesaan berkomunikasi beginilah, agensi kerajaan dan swasta berlumba-lumba mewujudkan perkhidmatan yang mesra hujung jari (baca: dalam talian atau online). Membayar bil, saman, membuat pendaftaran, memesan makanan, pakaian dan sebagainya sudah menjadi lumrah dan budaya masyarakat kita kini.

Bagaimana dengan aku? Aku sama juga dengan manusia lain di muka bumi bertuah ini yang tidak dapat menyekat diri dan terpaksa berlari sama seiring dengan kemajuan teknologi akhir zaman. Aplikasi Whatsapp, Instagram dan Facebook (walaupun lama tidak diupdate) menjadi pilihan untuk aku berkomunikasi dengan sahabat-sahabat lama yang ada antaranya hampir 40 tahun tidak ketemu mata. Walaupun tanpa suara (kecuali pengguna berbangsa Cina yang memilih audio message kerana kemungkinan kesukaran menaip aksara Cina dengan pantas) tapi cukup untuk aku berpuas hati. Dapat juga berkomunikasi.

Menyentuh tentang berkomunikasi dengan sahabat dalam era ini, aplikasi Whatsapp menjadi pilihan utama, aku bersyukur bukan semua komunikasi semudah di hujung jari. Kisahnya begini, sahabat lama aku sejak beberapa tahun kebelakangan ini disahkan mengidap kanser tahap empat dan perlu menjalani pelbagai siri rawatan yang aku pasti bukan sahaja menyakitkan dan memenatkan tetapi memerlukan pembiayaan yang bukan sedikit (baca: hospital kerajaan bukan hospital swasta).

Dalam seminggu dua ini pula pecah cerita, anak lelakinya pula dikesan menghidapi kanser tahap keempat dan perlu menjalani pembedahan. Atas perbincangan keluarga, diputuskan anak ini akan dirujuk kepada rawatan alternatif kerana tiada keyakinan yang tinggi daripada pihak doktor bahawa penyakit ini akan diubati sepenuhnya melalui perubatan. Sesungguhnya doktor bukannya Tuhan, dan tidak perlu aku maklumkan berapa lama tempoh hayat yang dijangkakan oleh mereka.

Maka usaha dalam kadar segera pun dilancarkan oleh sahabat-sahabat dalam memberikan bantuan. Mujur bantuan ini bukan hanya dalam bentuk di hujung jari (kecuali pemindahan wang sebagai bantuan meringankan beban sahabat melalui perkhidmatan perbankan atas talian). Ada sahabat (yang aku amat berterima kasih) sanggup bersusah payah membantu mendapatkan pengamal rawatan alternatif (bukan doktor) untuk mengubati anak yang kesakitan ini. Alhamdulillah, khabarnya ada menunjukkan tanda-tanda positif.

Bayangkan andai kita berkomunikasi dan bertindak hanya bergantung pada hujung jari semata-mata? Sahabat aku yang terbaik itu hanya sekadar menghantar teks meminta pengamal perubatan alternatif itu untuk datang merawat anak itu (dengan memandu kereta selama enam jam dari kediaman). Pengamal perubatan tersebut boleh sahaja menghantar teks memaklumkan bahawa beliau sibuk dan tidak dapat menunaikan hasrat membantu anak sahabat aku ini. Apakan daya, bukan ada hubungan apapun antara mereka.

Tetapi apabila sahabat terbaik aku itu sanggup bertolak dari puncak sebuah pusat peranginan yang popular dan sentiasa sesak dengan kenderaan di Pahang  dengan memandu sendiri ke kediaman pengamal perubatan yang terletak di sempadan Perak dan Pulau Pinang, sudah tentu sukar untuk beliau menolak hasrat tersebut. Pada firasat aku, kesungguhan sahabat aku itu adalah satu bentuk penghormatan kepada ilmu si pengamal perubatan. Tambahan, bangsa Melayu terkenal sebagai bangsa yang suka menghulurkan bantuan. 

Marilah kita manfaatkan kemajuan teknologi yang ada disekeliling kita kepada sesuatu yang lebih bermakna dan sisipkan di minda kita bahawa secanggih mana pun teknologi sekarang ini, tidak dapat dinafikan teknologi Allah yang membolehkan kita melihat dengan hati dan berfikir dengan perasaan.

P/S – teringat bagaimana aku mengajar anak untuk berkomunikasi tanpa malu dengan cara meminta beg plastik atau penutup bekas air di restoran makanan segera. Ternyata yang Si Dara lebih hebat daripada Si Teruna. 

Monday, March 26, 2018

UNSUNG HEROES: THE STROLLERS

UNSUNG HEROES: THE STROLLERS

Aku dilahirkan di penghujung tahun 60an. Zaman ‘rebel’, zaman ‘flower power’, zaman ‘Woodstock’ , zaman perang Vietnam dan antara yang menarik ini adalah zaman di mana manusia bernama Neil Amstrong dikatakan menyentuh bulan dengan kasut buat pertama kalinya.

Muzik The Beatles dengan teriakan Yeh…Yeh…Yeh telah berlalu. Rasa baru nuansa baru yang lebih segar iaitu Psychedelic Rock  mula menerpa telinga dan dengan mudah dihadam oleh peminat muzik sezaman tanpa mengira rasa atau bendera negara mana mereka berpijak.

Begitu juga Malaysia yang usianya belum lagi mencecah sedekad ketika itu turut menerima bukan saja tempias tapi turut lenjun bersama. Kugiran (kumpulan gitar rancak) yang tumbuh di hujung 1967 mula beralih ke irama ini walaupun asalnya mereka membesar dengan The Beatles, Chuck Berry, The Beach Boys dan ramai lagi. Kugiran yang tumbuh di awal 60an hanya memerhati dan berdoa agar irama Pop Yeh Yeh tetap kekal dan masih ada ruang di hati para peminatnya. Yang jelas sejarah membuktikan irama Pop Yeh Yeh ini akan terkubur dan hanya bangkit semula pada sekitar 1985 atas usaha Allahyarham M. Sharif dan kumpulan The Zurah 2 menganjurkan Konsert Irama 60an. Kini tinggal penghias majlis keramaian dan acara gemilang di televisyen sebagai pencetus nostalgia.

Berbalik pada penyanyi, band atau kugiran era hujung dan awal 70an yang telah mewarnai dunia muzik sehingga zaman kegemilangan kumpulan Rock Kapak pada hujung 80an. Ketika ini band pop dan disko tumbuh bagai cendawan di Malaysia dan Singapura. Nama-nama seperti Black Dog Bone, Carefree, Discovery, Alice Sound, The Flybaits, Brain Connection, D’Atomic Power, Quinary M, Sweet September, Revolvers, Streetlights, Goodman Brothers dan Kalibers (sekadar menyebut beberapa nama) menguasai carta lagu-lagu Melayu arus perdana atau disebut mainstream.

Bagaimanapun di sebalik kesohoran nama-nama tersebut, ada beberapa nama yang jarang disebut atau kedengaran lagu mereka di corong-corong radio. Kemungkinan besar kerana kebanyakan mereka ini memainkan lagu-lagu cover atau saduran dalam Bahasa Inggeris dan sayangnya lagu-lagu ciptaan asli mereka juga turut dilabelkan sebagai lagu saduran. Ironinya jika dikaji dan diperakui secara ilmiah terdapat beberapa lagu ciptaan mereka ini telah menjadi popular apabila disadurkan oleh penyanyi antara bangsa (baca penyanyi UK dan US). Atas alasan apa sekalipun, mereka ini tetap membawa kegahan nama nusantara sama ada Malaysia atau Singapura di mata dunia.

Sebagai permulaan, sedikit perkongsian tentang sebuah band asal Malaysia (kalau sebut Malaysia atau Singapura, kadang-kadang ada percampuran keduanya, maklumlah muzik tiada sempadan bangsa, agama mahupun negara). Band yang dimaksudkan ialah The Strollers.

The Strollers merupakan band bernuansa rock atau lebih tepat, Psychedelic Rock yang diperkuatkan dengan ahli yang mahir dan mampu memainkan muzik secara live di pentas mahupun untuk rakaman di studio. Bukan sahaja The Strollers, malahan semua band pun sama gagahnya. Era klasik di mana rakaman album sama ada LP atau EP dimainkan sendiri oleh ahli band tanpa perlu pemuzik undangan.




The Strollers asalnya dianggotai oleh Billy Chang (bass), Hassan Idris (gitar), Ambrin (digantikan oleh Michael Magness (organ, vocal), Jimmy D’Olivero (digantikan oleh Nand Kumar (conga, Vocal) dan Ramli (drum sebelum digantikan oleh Hussein Idris).



Kemudian barisan (line –up) berubah apabila Terry Thaddeus (gitar, menggantikan Michael Magness), Richard Gomes (keyboard) dan Azman Warren (vocal) masuk sebagai ahli dan menjadi line-up The Strollers yang disegani.


Terry Thaddeus (1947-2003)

Kini The Strollers sudah tiada kerana ramai ahli asalnya telah meninggal dunia ataupun berhijrah ke luar negara untuk mencari kehidupan yang lebih menjanjikan. Bagi meneruskan legasi ini, The Strollers 2 ditubuhkan pada tahun 1988 di mana line-up barunya ialah Hussein Idris (drum dan vocal), Casper (bass dan vocal), Nan (gitar dan vocal), Desi (kemudian digantikan oleh Rozal, vocal) dan Lord (kemudian digantikan oleh Azlan, keyboard).


Sepanjang penglibatan The Strollers mewarnai dunia muzik negara, mereka telah menghasilkan beberapa EP dan album penuh (LP). Antaranya seperti berikut,

·         EP 1968 Wanna Thank You
·         EP 1969 Big Step
·         EP 1969 Put Your Hands Together
·         EP 1970 Before The Dawn
·         EP 1970 Just As I Am
·         EP 1971 Chirpy Chirpy Cheep Cheep
·         EP 1972 Charles Tyler backed by The Strollers
·         EP 1972 Travels
·         EP 1972 New Woman (iklan promosi susu Nestle)
·         EP 1973 Its A Beautiful Feeling
·         EP 1973 Silly Jokes
·         LP 1973 Waiting Is

 


 

P/S - Semua imej adalah diambil daripada laman web.

Monday, December 5, 2016

BIG BOY’S HOBBY: HARD ROCK CAFÉ’S T-SHIRT

Semasa aku bersekolah dahulu, cikgu sering bertanyakan hobiku dan rakan-rakan sekelas. Melukis, ringkas sahaja jawapanku. Memang itulah hobiku dahulu yang nampaknya telah diwarisi oleh anak lelaki bongsuku. Itu dahulu. Sekarang, hobiku semakin bertambah. Mambaca, mendengar muzik, menonton filem dan menulis menjadi barisan hobiku yang baharu.

Hard Rock Cafe pertama yang dibina di London pada tahun 1971.

Kini, senarai hobiku bertambah satu. Tapi kali ini hobiku agak mahal. The Big Boy’s Hobbies…katakan. Tak, hobiku bukan berbasikal hujung minggu, bukan juga menunggang motosikal berkuasa besar keliling desa dan pekan kecil (sebab kalau di bandar banyak sangat gangguan…jem dan lampu trafik).




 Antara contoh cenderamata Hard Rock Café.

Hobiku yang baharu ialah mengumpul memorabilia hasilan Kedai Kopi Batu Keras atau yang disebutkan oleh Robert Plant sebagai Hard Rock Café (HRC). Terdapat banyak cawangan HRC di muka bumi ini. Malaysia sahaja telah sedia ada empat cawangannya iaitu di Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu. Dengar khabarnya akan ada yang keempat iaitu di Kuching, Sarawak.


Hard Rock Café Kuala Lumpur.


Hard Rock Café Melaka.


Hard Rock Hotel Penang.


Hard Rock Café Kota Kinabalu.

Terdapat banyak memorabilia yang ada. Dari yang sekecilnya seperti pin hinggalah yang besar-besar seperti beg sandang. Aku? Hanya mengumpul kemeja T (t-shirt) sahaja. City Tee iaitu yang mempunyai grafik berkaitan HRC dan lokasi di bahagian belakang baju dan Flag Tee iaitu yang mempunyai grafik bendera di hadapan baju.


City Tee Melaka
City Tee Penang

City Tee London, England

City Tee Phuket, Thailand

City Tee Oslo, Norway

City Tee Melaka

City Tee Tbilisi, Georgia

City Tee Munich, Germany

Flag Tee Baku, Azerbaijan

Setakat ini aku menyasarkan t-shirt berdasarkan beberapa lokasi mengikut benua. Jika ada kesempatan dan kemampuan aku akan beralih ke lokasi-lokasi yang masih beroperasi dan selebihnya aku menyasarkan pula ke lokasi yang rare iaitu lokasi yang telah ditutup terus atau berhenti beroperasi kerana bertukar lokasi, unauthorised iaitu tidak berada di bawah bumbung rasmi HRC dan sebagainya.  

Saturday, December 3, 2016

KUALA KUBU BHARU INTERNATIONAL ART FESTIVAL, 2016

Sepuluh hari. 1 hingga 10 Disember 2016. Sepanjang tempoh itu seramai 30 orang pelukis profesional akan berkampung di pekan Kuala Kubu Bharu (KKB) bagi merealisasikan tema “Cagar Seni Di Perbukitan” (Art Haven In The Hill).


ADUN Kuala Kubu Bharu, YB Pn Lee Kee Hiong merupakan orang kuat yang komited dalam menempatkan pekan kecil ini dalam peta kegiatan seni negara. Bermula antaranya, lukisan mural di sekeliling tembok-tembok kosong pekan bersejarah ini, kegiatan sastera dengan mengundang Sasterawan Negara A. Samad Said, Sasterawan Negara Muhammad Hj Salleh, Prof Dr Siti Zainon Ismail dan ramai lagi. Baru-baru ini adalah pelancaran buku Small Town: A Personal Tribute to Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor oleh penulis Rehman Rashid.




Festival seni ini telah dijayakan oleh para pelukis (catan) dan pengarca (sculpturer) daripada beberapa negara rumpun Asia seperti Indonesia, Bangladesh, China, Korea Selatan, Nepal, Filipina, Bangladesh, India, Laos, Singapura, Taiwan, Thailand, Vietnam, Australia dan tidak ketinggalan pertiwi kita, Malaysia.






Selain itu, hasil karya Measured Drawing pelukis-pelukis muda pelajar dari Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, sekolah-sekolah di sekitar KKB turut dipamerkan di Perpustakaan Awam KKB, Galeri Seni KKB dan khemah perasmian.









Kebanyakan hasil catan yang dihasilkan adalah berbentuk abstrak dan mengambil latar belakang alam KKB yang kaya dengan himpunan flora dan fauna selain sifat rahmah dan perpaduan masyarakat majmuk yang sedikit sebanyak agak asing bagi kebanyakan pelukis-pelukis ini.



Cikgu Zulkifli Din, guru SK Ampang Pecah yang cukup sinonim dengan dunia seni lukis khususnya di Kuala Kubu Bharu. Komited, minat dan berdedikasi.



Bersama pelukis Filipina, Reynold DelaCruz yang mengambil semangat perpaduan masyarakat KKB dalam karyanya.



Karya unik pelukis Indonesia, Zent Prozent yang turut menterjemahkan kesepakatan masyarakat majmuk Malaysia dalam menguatkan negara tercinta ini.



Karya pelukis muda Malaysia, Ng Chaw Tong ini mengetengahkan betapa pentingnya bagi kita untuk memberikan pendapat, idea dan menyalurkan pandangan dengan rasa bebas.



Teruk sangatkah dunia ini dengan pencemaran sehinggakan dewa turut mengenakan topeng muka? Karya pelukis Asha Dangol dari Nepal ini turut menarik mataku untuk merakamkannya.


Pelukis Autralia, Michelle Dawson ini menjadikan fauna yang sinonim dengan negara kita seperti anjing dan beruang matahari sebagai latar penghayatannya. Anjing? Masih banyak. Ya banyak. Beruang Matahari? Menantikan masa dan ketika untuk kita amati hanya di zoo sahaja.



Festival ini telah dirasmikan oleh Tuan Mohamad Zain bin A. Hamid, Yand Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor dan turut dihadiri oleh YDH Dato’ Haji Aman Shah bin Mohd Shahar, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor.





Penulis bersama maskot festival, Ori Si Burung Kunyit (Ori The Black-Naped Oriole)






P/S – Sejujurnya kita belum atau tidak mahu mengambil kesempatan ini untuk menjual KKB ke mata umum…masyarakat Malaysia dan antarabangsa dalam pelbagai acara yang telah diadakan secara rasmi, santai, berkala atau tahunan. Mana memorabilia KKB? Mana t-shirt KKB? Mana key chain KKB? Mana poskad KKB? Mana? Mana dan mana? Apakah perlu kita menunggu orang lain yang menjual KKB yang kita sayangi ini?