Monday, May 9, 2016

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016...Berbaur Warna dan Rasa

Semalam, sekali lagi rutin hujung minggu bersama keluarga untuk aku manfaatkan dengan penuh kualiti sebaik mungkin. Permintaan Hari Ibu kata ibu anak-anakku. "Kemana?" "Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 di MARDI." Dua jam selepas itu, kami pun sampai ke lokasinya.


Pertama kalinya di MAEPS, Serdang. Bertemakan 'Destinasi Percutian Keluarga'. Ramai, riuh tapi teratur dan terkawal. Bahang panas yang melanda tidak meluntur hati keluargaku, lebih-lebih lagi ibu mereka yang amat meminati novel khususnya karya Ramlee Awang Murshid dan Norhayati Berahim. Kaki melangkah melewati setiap petak penerbit tempatan dan antarabangsa, duit bertukar tangan manakala tangan dengan megah membimbit beg-beg plastik mahupun kertas beraneka corak yang diberikan sebagai 'hadiah' membeli karya mereka.



Apa yang ingin ku kongsikan ialah minat pengunjung. Walaupun kedua-dua khemah pameran yang besar ini memuatkan pelbagai jenis dan aliran penulisan buku sama ada akademik, motivasi, agama dan sebagainya, hasil fiksyen tetap menjadi sambutan utama. Puas sasterawan negara dan ahli bahasa berdiskusi di satu sudut, nyaring suara penyair melaungkan puisi melantun ke segenap penjuru, akhirnya seorang pelakon yang pernah membintangi drama adaptasi sebuah novel berupaya menjadi pilihan dan tumpuan ramai khalayak. Penulis novelnya hadir tetapi hanya dijemput sekadar untuk menandatangani novel di hujung meja manakala 'goodies'nya ialah berpeluang ber'selfie' dengan pelakon. Apa yang penting, karya terbitan syarikat-syarikat ini boleh LAKU dijual.


Kedua, aku lihat anak-anak muda sekarang ini mula memilih lingkungan buku-buku yang terhasil daripada koleksi penulisan blog. Judul, rekaan kulit buku dan pilihan bahasa kata yang lebih santai menjadi pilihan mereka. Isi? Kandungan? merentas semua sama ada yang ringan mahupun lebih berat. Aku lebih berminat melihat bagaimana penerbit baru yang kebanyakan 'Melayu" cuba bersaing dengan pempamer-pempamer yang bersaiz besar dan kedai buku yang juga 'gergasi' dalam jalurnya seperti Popular Book Store, Borders dan MPH Book Store (sekadar menyebut beberapa nama). DoBook Press, Jootawan Group, Karya Seni, Member Boss, Al Fateh dan Kaki Buku menjadi pemain baru dalam membekalkan khalayak buku di negara ini dengan bahan-bahan bacaan pilihan. Aku salute dengan mereka seperti tagline DuBook Press..."Jual Buku...Tidak Menjual Maruah".


No comments:

Post a Comment