Monday, December 5, 2016

BIG BOY’S HOBBY: HARD ROCK CAFÉ’S T-SHIRT

Semasa aku bersekolah dahulu, cikgu sering bertanyakan hobiku dan rakan-rakan sekelas. Melukis, ringkas sahaja jawapanku. Memang itulah hobiku dahulu yang nampaknya telah diwarisi oleh anak lelaki bongsuku. Itu dahulu. Sekarang, hobiku semakin bertambah. Mambaca, mendengar muzik, menonton filem dan menulis menjadi barisan hobiku yang baharu.

Hard Rock Cafe pertama yang dibina di London pada tahun 1971.

Kini, senarai hobiku bertambah satu. Tapi kali ini hobiku agak mahal. The Big Boy’s Hobbies…katakan. Tak, hobiku bukan berbasikal hujung minggu, bukan juga menunggang motosikal berkuasa besar keliling desa dan pekan kecil (sebab kalau di bandar banyak sangat gangguan…jem dan lampu trafik).




 Antara contoh cenderamata Hard Rock Café.

Hobiku yang baharu ialah mengumpul memorabilia hasilan Kedai Kopi Batu Keras atau yang disebutkan oleh Robert Plant sebagai Hard Rock Café (HRC). Terdapat banyak cawangan HRC di muka bumi ini. Malaysia sahaja telah sedia ada empat cawangannya iaitu di Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu. Dengar khabarnya akan ada yang keempat iaitu di Kuching, Sarawak.


Hard Rock Café Kuala Lumpur.


Hard Rock Café Melaka.


Hard Rock Hotel Penang.


Hard Rock Café Kota Kinabalu.

Terdapat banyak memorabilia yang ada. Dari yang sekecilnya seperti pin hinggalah yang besar-besar seperti beg sandang. Aku? Hanya mengumpul kemeja T (t-shirt) sahaja. City Tee iaitu yang mempunyai grafik berkaitan HRC dan lokasi di bahagian belakang baju dan Flag Tee iaitu yang mempunyai grafik bendera di hadapan baju.


City Tee Melaka
City Tee Penang

City Tee London, England

City Tee Phuket, Thailand

City Tee Oslo, Norway

City Tee Melaka

City Tee Tbilisi, Georgia

City Tee Munich, Germany

Flag Tee Baku, Azerbaijan

Setakat ini aku menyasarkan t-shirt berdasarkan beberapa lokasi mengikut benua. Jika ada kesempatan dan kemampuan aku akan beralih ke lokasi-lokasi yang masih beroperasi dan selebihnya aku menyasarkan pula ke lokasi yang rare iaitu lokasi yang telah ditutup terus atau berhenti beroperasi kerana bertukar lokasi, unauthorised iaitu tidak berada di bawah bumbung rasmi HRC dan sebagainya.  

Saturday, December 3, 2016

KUALA KUBU BHARU INTERNATIONAL ART FESTIVAL, 2016

Sepuluh hari. 1 hingga 10 Disember 2016. Sepanjang tempoh itu seramai 30 orang pelukis profesional akan berkampung di pekan Kuala Kubu Bharu (KKB) bagi merealisasikan tema “Cagar Seni Di Perbukitan” (Art Haven In The Hill).


ADUN Kuala Kubu Bharu, YB Pn Lee Kee Hiong merupakan orang kuat yang komited dalam menempatkan pekan kecil ini dalam peta kegiatan seni negara. Bermula antaranya, lukisan mural di sekeliling tembok-tembok kosong pekan bersejarah ini, kegiatan sastera dengan mengundang Sasterawan Negara A. Samad Said, Sasterawan Negara Muhammad Hj Salleh, Prof Dr Siti Zainon Ismail dan ramai lagi. Baru-baru ini adalah pelancaran buku Small Town: A Personal Tribute to Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor oleh penulis Rehman Rashid.




Festival seni ini telah dijayakan oleh para pelukis (catan) dan pengarca (sculpturer) daripada beberapa negara rumpun Asia seperti Indonesia, Bangladesh, China, Korea Selatan, Nepal, Filipina, Bangladesh, India, Laos, Singapura, Taiwan, Thailand, Vietnam, Australia dan tidak ketinggalan pertiwi kita, Malaysia.






Selain itu, hasil karya Measured Drawing pelukis-pelukis muda pelajar dari Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, sekolah-sekolah di sekitar KKB turut dipamerkan di Perpustakaan Awam KKB, Galeri Seni KKB dan khemah perasmian.









Kebanyakan hasil catan yang dihasilkan adalah berbentuk abstrak dan mengambil latar belakang alam KKB yang kaya dengan himpunan flora dan fauna selain sifat rahmah dan perpaduan masyarakat majmuk yang sedikit sebanyak agak asing bagi kebanyakan pelukis-pelukis ini.



Cikgu Zulkifli Din, guru SK Ampang Pecah yang cukup sinonim dengan dunia seni lukis khususnya di Kuala Kubu Bharu. Komited, minat dan berdedikasi.



Bersama pelukis Filipina, Reynold DelaCruz yang mengambil semangat perpaduan masyarakat KKB dalam karyanya.



Karya unik pelukis Indonesia, Zent Prozent yang turut menterjemahkan kesepakatan masyarakat majmuk Malaysia dalam menguatkan negara tercinta ini.



Karya pelukis muda Malaysia, Ng Chaw Tong ini mengetengahkan betapa pentingnya bagi kita untuk memberikan pendapat, idea dan menyalurkan pandangan dengan rasa bebas.



Teruk sangatkah dunia ini dengan pencemaran sehinggakan dewa turut mengenakan topeng muka? Karya pelukis Asha Dangol dari Nepal ini turut menarik mataku untuk merakamkannya.


Pelukis Autralia, Michelle Dawson ini menjadikan fauna yang sinonim dengan negara kita seperti anjing dan beruang matahari sebagai latar penghayatannya. Anjing? Masih banyak. Ya banyak. Beruang Matahari? Menantikan masa dan ketika untuk kita amati hanya di zoo sahaja.



Festival ini telah dirasmikan oleh Tuan Mohamad Zain bin A. Hamid, Yand Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor dan turut dihadiri oleh YDH Dato’ Haji Aman Shah bin Mohd Shahar, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor.





Penulis bersama maskot festival, Ori Si Burung Kunyit (Ori The Black-Naped Oriole)






P/S – Sejujurnya kita belum atau tidak mahu mengambil kesempatan ini untuk menjual KKB ke mata umum…masyarakat Malaysia dan antarabangsa dalam pelbagai acara yang telah diadakan secara rasmi, santai, berkala atau tahunan. Mana memorabilia KKB? Mana t-shirt KKB? Mana key chain KKB? Mana poskad KKB? Mana? Mana dan mana? Apakah perlu kita menunggu orang lain yang menjual KKB yang kita sayangi ini?

Thursday, October 27, 2016

BERPADA-PADALAH....

Aku bukan warganegara yang zalim. Tidak prihatin dengan nasib golongan Orang Kurang Upaya (OKU) atau istimewa. Sepanjang aku mendapat lesen memandu, sekalipun aku tidak pernah meletakkan keretaku di parker khas OKU. Apatah lagi membawa kereta dan melanggar golongan ini. Nauzubillah! Minta dijauhkan.

Cuma emosi aku agak tersentuh sedikit selepas dua kejohanan bertaraf dunia melabuhkan tirainya iaitu Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik. Bukan sebelum atau semasa sukan itu berlangsung…

Sukan Olimpik mempertandingkan manusia-manusia hebat dunia tanpa dikategorikan kepada apa jua kelas seperti berat badan dn umur kecuali beberapa jenis sukan seperti angkat berat. Manakala Sukan Paralimpik pula mempertandingkan golongan OKU dalam sukan yang berupaya diceburi dan dalam kelas-kelas khas tersendiri seperti kurang upaya minda, fizikal dan masalah pembelajaran.

Sumber: https://hype.my/2016/120180/rio2016-3-malaysians-cinch-gold-create-history-at-the-rio-paralympic-games/

Sepuluh juta. Hampir 10 juta dibelanjakan untuk warga Malaysia yang berjaya meraih pingat (baca pingat, bukan pingat emas sahaja) selepas kejohanan bertaraf dunia tersebut. Jumlah ini tidak termasuk dalam entah apa kejohanan yang akan datang. Bukan, bukan kos yang dibelanjakan untuk meraih pingat tersebut dan sudah tentu ia tidak sebanyak mana yang dibelanjakan oleh FAM untuk membina pasukan “Harimau Malaysia” agar dapat bertaring dan garang belangnya.

Sepuluh juta itu untuk pencen. Pencen. Bukan selepas mencapai usia persaraan 55 atau 60 tahun. Tapi serta merta dan dalam konteks ini ia umpama gaji. Bagi seorang penerima pingat emas dijanjikan pencen RM5 ribu sebulan. Matematik mudah, kalau setahun RM60 ribu dan kalau umurnya panjang dan hidup lagi 30 tahun, kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM1.8 juta! Itu untuk seorang. Belum lagi dikira habuan-habuan lain yang dijanjikan atau mungkin ketika blog ini ditulis ia hanya tinggal janji.

Dengki? Aku tak pernah iri hati dengan sebarang ganjaran diterima oleh ahli sukan negara selama ini. Itu rezeki mereka. Cuma nilai RM5 ribu bagi istilah pencen inilah yang amat menyentuh hati.

25 tahun aku belajar dari peringkat sijil, diploma, sarjana muda dan sarjana, bekerja jauh dari keluarga dengan jarak perjalanan hampir 300 km pergi balik dan be a weekend father selama 10 tahun. Andainya aku bersara atau meninggalkan dunia yang fana ini, aku atau keluarga yang aku tinggalkan tidak akan dapat menerima pencen sebanyak RM5 ribu tersebut. Untuk memperoleh nilai tersebut, aku perlu bersara semasa gaji pokok aku ialah RM10 ribu. Gaji pokok tanpa elaun-elaun lain.

Ini yang buat aku beremosi sedikit. Berbaloi ke kalau imbuhan untuk penampilan sukan diangkat sebegitu tinggi. Memanglah mereka ini tiada pendapatan lain kerana tidak bekerja tetapi pepatah Cina ada mengatakan “Beri mereka ikan untuk dimakan sehari tetapi berikan pancing, mereka akan makan selamanya”.

Atau ada tujuan lain?

Sumber: http://www.firstpost.com/sports/rio-olympics-2016-usain-bolt-can-be-beaten-by-only-one-opponent-time-2964648.html


P/S – Usain Bolt, pemenang emas 100 meter Olimpik 2016 dan sebelum-sebelumnya, bertanding dengan tujuh lelaki terpantas dunia yang lain. Berlari tanpa mewakili sebarang kelas, apatah lagi sebarang kelas ketidak upayaan…

KANDAR

Apa kaitan KAYU, KANDAR dan Restoran Nasi Kandar Kayu?

KAYU merupakan bahan utama untuk dijadikan sebatang batang pengandar.

KANDAR ialah cara penjaja nasi kandar menjual makanannya ke merata dan serata tempat.

Nasi Kandar Kayu pula merupakan antara restoran nasi kandar bertaraf kelas mewah yang popular antaranya di Pulau Pinang.



Sumber: http://calvin-myjourney.blogspot.my/2009_08_01_archive.html

Yang membezakan antara kelas marhain dan kelas mewah ini adalah tiga perkara iaitu jenis lauk pauknya, hiasan dan kemudahan restorannya dan sudah tentu harganya. Yang sama, bersama siapa kita menikmatinya.  

KARI

Apa kaitan CURRY, Freddie MerCURY, CURRYpuff dan Restoran Nasi Kandar Pak Ali?

CURRY (kari) merupakan resepi utama bagi mana-mana restoran nasi kandar. 

Freddie MerCURY merupakan penyanyi utama kumpulan Queen, kelahiran India tetapi tidak dapat dipastikan sama ada kari merupakan sajian kegemarannya? Nak bertanya diapun sudah lama tiada…

CURRYpuff (karipap) merupakan antara kuih tempatan yang tiada dijual di Restoran Nasi Kandar Pak Ali. Malahan, kuih muih lain pun tidak dijual.


Sumber: http://mycomments.com.my/shop/30034


Yang pasti, kelazatan nasi kandar dan campuran kari di restoran kelas masyarakat marhain ini membuatkan insan yang macam aku ni meletakkan nama restoran ini dalam senarai “JOM BAWA KERETA CARI MAKAN”.

SELAMAT HARI LAHIR PEJUANG

15 OKTOBER 2016 – 64 Tahun pejuang ini diputerakan. Hari ini, insan seni yang hebat dan sekian lama ditabalkan sebagai Raja Rock Melayu dalam industri muzik negara. Datuk Ramli Sarip.


Sumber: http://www.thestar.com.my/lifestyle/entertainment/music/news/2014/10/09/datuk-ramli-sarip-gears-up-for-a-concert-next-weekend/


“Selamat hari lahir YBhg Datuk. Semoga terus maju jaya dalam melestarikan muzik dan budaya Melayu dan sentiasa bahagia dalam rahmat-Nya.”

P/S - Masih menantikan YBhg Datuk menjadi host siri TV ala-ala "Jalan-jalan Cari Makan". Memperkenalkan tempat makanan kesukaan sambil berinteraksi dengan muzik Melayu dan Malaysia.

Wednesday, September 21, 2016

JARAK BEZA KASIH DAN KASIHAN

Imbauan aku tengah hari ini berundur ke tahun 80an..kala usia aku masih muda, belum remaja tapi sudah ada rasa sayang. Sayangkan sesuatu melebihi dari sayangkan seseorang.

Semuanya kerana seekor kucing. Kucing putih baka siam yang dibuang oleh ‘mantan’ tuannya ke tempat aku bertugas. Raut bentuk wajahnya persis wajah kucing kesayangan keluargaku suatu ketika dahulu. ‘Comot’ namanya. Bukan kerana jenis selekeh tetapi kerana bulunya ber’pattern’kan semburan warna-warna debu kelabu.

Kucing itu sekadar ada di hadapan mataku. Ku biarkan saja. Cukup hanya makanan yang tersisa yang dijamahnya. Ku biarkan saja sekali lagi dan berkali-kali selepas itu. Kerana apa? Kerana aku sekadar hanya rasa kasihan. Kasihan…kesian…kasihan…kesian

Tapi bukan pada Comot. Aku tak kasihan padanya. Sejak kecil kuambil, kujaga, kubelai sehinggalah kelibatnya hilang setelah hampir separuh dekad ia menjadi tempat keluargaku dan aku melepaskan tekanan-tekanan hidup yang ada. Kerana apa? Kerana aku kasih padanya sebagaimana aku kasihkan keluargaku, permainanku dan buku komik kegemaranku.


Maka, saat aku menghidu aroma kopi ala Americano ini..sambil melihat bayang wajah di atas pekatnya, ku harap kita mengerti dan tidak terkeliru dengan perasaan kasih dan kasihan yang ada di jiwa kerana ia bukan dicetuskan minda. 

TITISAN HUJAN: ANTARA PAGI, SENJA, AKU DAN DIRIMU

Redup pagi ini
Bukan hujan jadi janji
Mentari seakan malu sendiri
Akan manis di senyummu
Lebih asyik mekar itu dari hati

Dalam diam ku mohon pagi ini
Jangan berhenti
Biar senyummu terus berseri
Moga dirimu terus ceria
Dalam redhamu setiap hari

Sejuk senja ini
Ku doakan biar turunnya hujan
Biar ada titisnya jatuh di atas tapak tanganmu
Kala doa kau panjatkan pada-Nya
Biar ada titisnya jatuh di sudut bibir keringku
Kala aku bertasbih memuji-Nya
Biar ada titisnya jatuh antara aku dan dirimu
Kala aku menuturkan kata maaf 
Atas yang berlaku dan berlalu dahulu

Kala aku membisikkan terima kasih 
Kerana sudi menerima dan memaafkanku

PRIHATIN YANG TIDAK PRAKTIKAL DI AIDIL ADHA

Masyarakat Malaysia terkenal di seluruh dunia atas sikap prihatin mereka. Pelbagai senario, peristiwa, program yang berlatar belakangkan sikap prihatin ini. Kegawatan dunia yang penuh sesak dengan peristiwa peperangan, bencana alam, diskriminasi politik, kebencian agama, kebuluran, penyakit dan pelbagai lagi telah memungkinkan untuk rakyat Malaysia yang terlebih prihatin untuk meninggalkan negara, keluarga, sanak saudara, rakan taulan untuk menyumbang harta, tenaga dan idea bagi membantu insan-insan yang memerlukan tanpa sempadan bangsa, agama mahupun negara.

Apa yang nak ku sentuh berkaitan prihatin ini adalah sikap prihatin kita pada masyarakat yang dekat dengan kita, pada lingkungan kita (kalau nahu Indonesianya). Peribahasa “Kuman di seberang lautan nampak di mata, gajah di pelupuk mata tidak kelihatan” cukup sinonim dengan isu ini.

Masyarakat kita sanggup melakukan korban untuk keluarga susah di negara lain seperti Kemboja tetapi kerap terlupakan keluarga yang usahkan daging lembu, ikan bilis pun tidak mampu dibeli untuk dimakan.

Masyarakat kita sanggup memasakkan makanan untuk mereka yang bukan saudara seagama atau sebangsa mahupun senegara walaupun hakikatnya bila tiba waktu tertentu, beratur warga gelandangan ibu kota yang datangnya langkahnya perlahan, bertatih, mengesut dan disorong kerusi roda.

Tidak salah untuk membahagiakan mereka. Tidak salah. Aku ulang sekali lagi. Memang tidak salah. Cuma kita perlu berlaku adil. Aku teringat sebait bicara dalam filem “Kapan Kawin” rilisan 2015.

Kalau kita ingin membahagiakan sesiapa pun, kita kena bahagia dahulu. Jangan cuba bahagiakan orang lain kalau ia seumpama memberikan cek kosong.”


Bagi aku – tak salahkan kalau KITA senang dahulu sebelum senangkan ORANG lain? Keliru? Jom pekena kopi dulu… 


SELAMAT HARI LAHIR UNTUKKU

16 SEPTEMBER 1969 – Empat puluh tujuh tahun lamanya anak merdeka ini melungsuri jendela-jendela waktu yang berkait dengan putaran sejarah dunia dan sejarah kesenian. Ketokohan susuk Jimmy Carter hingga rimas asal usul Barrack Obama, kelincahan Led Zeppelin hingga jenuh dengan seriusnya Nirvana, kagum Six Million Dollar Man hingga terpegun dengan Avengers…

Pada laluan yang sentiasa betul dan tepat ke gerbang emas…aku sudah ikhlaskan semua. Ikhlas…noktah..full stop. Cukup dengan koma-koma (,) yang ada..hadir dalam laluanku itu.

Yang penting bahagia. B.A.H.A.G.I.A…. Bahagia kerana dalam sedar, separa sedar dan tanpa sedar aku disayangi ramai;

Disayangi sebagai hamba-Nya
Disayangi sebagai anaknya
Disayangi sebagai adiknya
Disayangi sebagai abangnya
Disayangi sebagai iparnya
Disayangi sebagai suaminya
Disayangi sebagai bapanya
Disayangi sebagai datuknya
Disayangi sebagai pakciknya
Disayangi sebagai sahabatnya
Disayangi sebagai ketuanya
Disayangi sebagai anak buahnya

Disayangi sebagai …. Ach banyak sekali untuk disayangi dan untuk aku sayangi..


Yang penting aku bersyukur kerana menyayangi dan disayangi oleh negara ku yang MERDEKA….MALAYSIA

Tuesday, August 30, 2016

BERPEGANG PADA SISA-SISA MINDA YANG DIPERCAYA

Manusia kerap tertipu dengan mindanya sendiri. Terkeliru dengan pilihan-pilihan imej yang perlu disimpan selamanya, disimpan sementara atau yang tidak perlu singgah pun. Buang terus!

Kita selalunya lebih cenderung untuk menyimpan dengan rapi memori-memori yang kita senang..yang kita sayang..yang kita hargai. Memori-memori inilah yang akan terputar di minda apabila kita berada dalam keadaan-keadaan yang paling sukar dalam hidup.

Justeru itu bila kita berada di bawah sedar, otak akan memilih memori-memori itu untuk terus ditayangkan berulangkali walaupun memori itu hakikatnya sudah terlalu lama berlalu atau hanya sebentar saja hadir dalam fasa hidup kita. Apabila asyik ditayang…didengar…dihadam berulang-ulang kali, memori-memori itu akhirnya akan dianggap suatu yang nyata..iaitu peristiwa yang baru dan terkini berlaku…


Kekeliruan ini kadang kala perlu untuk membuatkan kita berasa sedikit ketenangan untuk berpaling (bukan lari) dari masalah yang menyempitkan minda dan perasaan. Tapi andai kita hanya sanggup bergantung kepada rantaian memori tersebut tanpa berusaha untuk akur, pasrah dan redha dan seterusnya membuka kotak minda dan kunci perasaan pada hakikat yang sebenarnya…kita akan terperangkap dan kekal dalam sangkar memori tersebut untuk selama-lamanya.


Untuk itu. Sejujurnya aku pilih untuk membuka ruang nafas dan belahan bibirku untuk mencicipi rasa sang kopi, menghirup aroma harumnya dan meneguk rasa panas pahit itu.

SENDIRI DI PAGI MERDEKA

Sendiri di pagi merdeka
Jauh dari barisan gagah bala perwira
Apatah lagi sabda dirgahayu Sang Raja

Masih tertanya
Apa erti merdeka
Di dada insan di lingkungan kita

Slogan merdeka seakan tiada apa
Bila pagi ini
Roti hanya cukup ada
Tapi tiada janji ia akan bersisa
Hingga malam tiba

Bila pagi ini
Hanya berlatarkan kaki lima
Tapi itulah syurga
Itulah istana

Masih sendiri di pagi merdeka
Tetap bersykur atas kurnia-Nya
Merdeka kita seluruhnya
Merdeka!


-7.07 pagi, Hutan Melintang